Wednesday, March 28, 2007

Ban manis

Keadaan cuaca di sini sekarang sangat panas. Dah banyak hari tidak hujan. Bahang panasnya sangat terasa. Rumput-rumput pun hampir kering. Jadi kenalah minum banyak air, agar sihat.
Dalam keadaan cuaca begini sangat elok kalau hendak buat roti. Sebab doh memerlukan cuaca yang panas untuk cepat naik. Ini ialah resepi ban yang selalu saya masak untuk keluarga. Resepi ini juga saya gunakan untuk membuat donut dan pau. Cuma perlu mengubah jumlah air dan gula sahaja.

Ban Manis

Bahan-bahan:
300gm tepung gandum
2 sudu teh yis kering (saya gunakan instant yis)
6 sudu teh gula
150ml air suam
3 sudu teh susu tepung @ susu pekat
1 biji telur
2 sudu teh majerin
1/4 sudu teh garam

Cara-caranya:

Mula-mula masukkan tepung, yis, gula,susu tepung, dan garam ke dalam sebuah mangkuk. Gaul hingga rata. Kemudian masukkan tepung dan air. Gaul hingga sebati. Masukkan majerin, gaul lagi. Setelah itu alihkan adunan doh ke permukaan yang rata untuk diuli. Uli lebih kurang 10 - 15 minit. Masukkan kedalam mangkuk yang telah disapu minyak, tutup permukaan mangkuk tersebut dan perapkan selama sejam.

Setelah adunan naik dua kali ganda, tumbukkan adunan itu dengan tangan untuk mengeluarkan angin. Uli sekejap. Bahagikan adunan kepada 8 atau 10 bahagian. Bulat-bulatkan dan aturkan kedalam loyang. Saya gunakan loyang yang bulat berukuran 8 inci. Perapkan lebih kurang 30 minit kemudian bakar dalam oven yang bersuhu 200 darjah Celcius, lebih kurang 15 - 20 minit. Suhu dan masa merujuk kepada oven masing-masing. Apabila masak, keluarkan dari oven dan sapukan majerin di atas ban yang masih panas itu. Sedia untuk dihidangkan.

Note: Ban ini boleh dipelbagaikan samada diletakkan inti atau dibiarkan kosong sahaja.

Pemakanan seimbang

Syukurlah kita hidup di zaman serba maju dan banyak kemudahan, termasuklah pengetahuan mengenai kandungan dan kuantiti makanan yang patut diambil bagi menjamin kesihatan tubuh badan. Makanlah makanan yang seimbang, itulah yang sering diucapkan.

Apakah pemakanan seimbang? Pemakanan seimbang ialah dimana makanan yang diambil atau dimakan mengandungi zat keperluan untuk membina kesihatan badan bagi pertumbuhan dan pembinaan gigi yang sihat. Saya menulis coretan ini kerana baru-baru ini saya mendapat batuk agak lama juga, lebih kurang tiga minggu. Jadi untuk mengingatkan diri, saya rasa perlu saya coretkan sedikit di sini mengenai pemakanan. Ini adalah kerana selalunya faktor pemakanan banyak mempengaruhi hidup kita.

Tujuh prinsip pemakanan untuk kesihatan:

1. Nikmati pelbagai jenis makanan
2. Kekalkan berat badan sihat
3. Makan banyak produk bijirin, kekacang, buahan dan sayur-sayuran
4. Kurangkan lemak dan kolestrol
5. Kurangkan penggunaan garam
6. Kurangkan penggunaan gula
7. Minumlah banyak air terutama air masak sekurang-kurangnya 8 gelas sehari.

Begitu juga dengan senaman, ia adalah penting untuk tubuh. Senaman dan pemakanan seimbang perlulah seiring kerana senaman membolehkan tubuh dan otak bertindak dengan cergas dan segar sentiasa untuk meniti hidup seharian.