Monday, April 9, 2007

Bubur jagung

Bubur dan pengat merupakan hidangan yang enak dimakan di waktu petang bersama secawan teh panas atau kopi panas. Lebih enak lagi dimakan bersama pulut ataupun roti. Hari ini saya memasak bubur jagung berkrim untuk hidangan petang.
Saya hanya menggunakan jagung berkrim yang terdapat di dalam tin kerana senang dan cepat untuk dimasak. Beginilah cara-caranya saya menyediakan bubur jagung berkrim.

Bahan-bahan:

1 tin (425gm) jagung berkrim
500ml santan
gula secukup manis (saya guna 3 sudu teh sahaja)
1 helai daun pandan (diikat)
2 sudu teh sagu biji (direndam sekejap)
Sedikit garam halus

Cara-caranya:

Masukkan jagung berkrim, santan, gula, daun pandan, sagu dan garam ke dalam periuk. Jeranglah di atas api yang perlahan. Kacaulah sehingga mendidih. Rasa manisnya. Bila telah masak bolehlah diangkat untuk dihidangkan.
Selamat mencuba.

Wednesday, March 28, 2007

Ban manis

Keadaan cuaca di sini sekarang sangat panas. Dah banyak hari tidak hujan. Bahang panasnya sangat terasa. Rumput-rumput pun hampir kering. Jadi kenalah minum banyak air, agar sihat.
Dalam keadaan cuaca begini sangat elok kalau hendak buat roti. Sebab doh memerlukan cuaca yang panas untuk cepat naik. Ini ialah resepi ban yang selalu saya masak untuk keluarga. Resepi ini juga saya gunakan untuk membuat donut dan pau. Cuma perlu mengubah jumlah air dan gula sahaja.

Ban Manis

Bahan-bahan:
300gm tepung gandum
2 sudu teh yis kering (saya gunakan instant yis)
6 sudu teh gula
150ml air suam
3 sudu teh susu tepung @ susu pekat
1 biji telur
2 sudu teh majerin
1/4 sudu teh garam

Cara-caranya:

Mula-mula masukkan tepung, yis, gula,susu tepung, dan garam ke dalam sebuah mangkuk. Gaul hingga rata. Kemudian masukkan tepung dan air. Gaul hingga sebati. Masukkan majerin, gaul lagi. Setelah itu alihkan adunan doh ke permukaan yang rata untuk diuli. Uli lebih kurang 10 - 15 minit. Masukkan kedalam mangkuk yang telah disapu minyak, tutup permukaan mangkuk tersebut dan perapkan selama sejam.

Setelah adunan naik dua kali ganda, tumbukkan adunan itu dengan tangan untuk mengeluarkan angin. Uli sekejap. Bahagikan adunan kepada 8 atau 10 bahagian. Bulat-bulatkan dan aturkan kedalam loyang. Saya gunakan loyang yang bulat berukuran 8 inci. Perapkan lebih kurang 30 minit kemudian bakar dalam oven yang bersuhu 200 darjah Celcius, lebih kurang 15 - 20 minit. Suhu dan masa merujuk kepada oven masing-masing. Apabila masak, keluarkan dari oven dan sapukan majerin di atas ban yang masih panas itu. Sedia untuk dihidangkan.

Note: Ban ini boleh dipelbagaikan samada diletakkan inti atau dibiarkan kosong sahaja.

Pemakanan seimbang

Syukurlah kita hidup di zaman serba maju dan banyak kemudahan, termasuklah pengetahuan mengenai kandungan dan kuantiti makanan yang patut diambil bagi menjamin kesihatan tubuh badan. Makanlah makanan yang seimbang, itulah yang sering diucapkan.

Apakah pemakanan seimbang? Pemakanan seimbang ialah dimana makanan yang diambil atau dimakan mengandungi zat keperluan untuk membina kesihatan badan bagi pertumbuhan dan pembinaan gigi yang sihat. Saya menulis coretan ini kerana baru-baru ini saya mendapat batuk agak lama juga, lebih kurang tiga minggu. Jadi untuk mengingatkan diri, saya rasa perlu saya coretkan sedikit di sini mengenai pemakanan. Ini adalah kerana selalunya faktor pemakanan banyak mempengaruhi hidup kita.

Tujuh prinsip pemakanan untuk kesihatan:

1. Nikmati pelbagai jenis makanan
2. Kekalkan berat badan sihat
3. Makan banyak produk bijirin, kekacang, buahan dan sayur-sayuran
4. Kurangkan lemak dan kolestrol
5. Kurangkan penggunaan garam
6. Kurangkan penggunaan gula
7. Minumlah banyak air terutama air masak sekurang-kurangnya 8 gelas sehari.

Begitu juga dengan senaman, ia adalah penting untuk tubuh. Senaman dan pemakanan seimbang perlulah seiring kerana senaman membolehkan tubuh dan otak bertindak dengan cergas dan segar sentiasa untuk meniti hidup seharian.

Monday, February 5, 2007

Sagu merah

Sagu merah ini senang dimasak. Boleh diwarnakan ikut kesukaan masing-masing. Boleh dilapiskan dengan berbagai warna. Resepi dibawah adalah merupakan resepi asas untuk memasak sagu


Sagu merah

Bahan-bahannya :
1 cawan sagu halus berwarna putih
100gm gula pasir
2 dan ½ cawan air
1 helai daun pandan
Beberapa titis pewarna merah
1/2 biji kelapa parut putih
Secubit garam

Cara-cara membuatnya:

Basuh sagu halus dan rendamkannya dengan air sejuk selama 1 jam. Kemudian toskan.
Masukkan air, daun pandan, gula dan pewarna merah kedalam sebuah periuk.
Masakkan sehingga air mendidih. Masukkan sagu dan kacau sehingga menjadi pekat.
Apabila masak, curahkan kedalam loyang dan sejukkan.
Potong atau gunakan sudu dan gaulkan dengan kelapa parut putih yang telah bercampur dengan garam halus.
Hidangkan sebagai minuman petang.

Karipap

Karipap adalah sejenis kuih tempatan yang menjadi kegemaran ramai. Berbagai resepi dah saya cuba akhirnya saya mendapat resepi yang memenuhi selera keluarga. Inilah resepi ciptaan saya.

Karipap

Bahan-bahan inti:
1kg ubi kentang
2 sudu teh serbuk kari daging
1 sudu teh udang kering
1/4 inci halia
Seulas bawang putih
1 sudu besar minyak
Sebiji bawang besar
Air
Garam
Gula

Cara-cara:

  1. Ubi kentang dibuang kulit dan dipotong dadu. Basuh dan rebus sampai empuk.
  2. Udang kering, halia dan bawang putih ditumbuk halus.
  3. Bawang besar dipotong dadu.
  4. Panaskan minyak, tumis bahan tumbuk sehingga wangi dan masukkan rempah kari dan sedikit air. Kemudian masukkan kentang, bawng besar dan air untuk melembutkan kentang. Masukkan juga garam dan gula secukup rasa.
  5. Masak sehingga air kering dan kentang menjadi lembut. Angkat dan sejukkan.


Bahan-bahan kulit karipap:

400gm tepung gandum
25gm minyak masak
1 sudu teh marjerin
air secukupnya
Minyak untuk menggoreng terendam

Cara-cara:

  1. Panaskan minyak dan marjerin sebentar di atas api. Jangan terlalu panas nanti tepung akan hangus.
  2. Kemudian masukkan kedalam tepung.
  3. Gaulkan sehingga sebati dengan senduk.
  4. Masukkan air sedikit-sedikit dan uli sekejap.
  5. Bahagikan kepada 32 bahagian bebola kecil. Biarkan lebih kurang 30 minit.
  6. Ambil sebiji bebola tadi leperkan. Kemudian masukkan inti. Lipat dua
  7. Kelimkan dibahagian tepi.
  8. Apabila sudah siap bolehlah digoreng didalam minyak yang panas. Pastikan api adalah kecil supaya karipap tidak cepat perang.

Salam Maal Hijrah 1428

Pejam celik, pejam celik dah masuk tahun baru, 1428 Hijrah dan juga Masehi 2007. Setiap kali menyambut tahun baru perkara yang disebut-sebut ialah mengenai azam. Apa azam kamu di tahun baru ini? Sukar untuk dijawab. Sebabnya azam tahun lepas, tahun-tahun yang lepas pun belum tertunai. Aduhai ...... Begitulah insan di dunia ini. Alamak macam ustazah pulak. Sebenarnya dah terlewat nak ucap selamat tahun baru. Tapi tak kisahlah, nak ucap pada diri sendiri apa salahnya. Sekurang-kurangnya tahu juga umur dah bertambah setahun lagi.
Tujuan saya menulis blog ini adalah untuk mencoret sedikit sebanyak resepi masakan yang tersimpan agar dapat menjadi panduan kepada diri saya. Manalah nak tahu satu hari nanti terhilang ke, terkoyak ke.... maklum sajalah hari semakin bertambah umur juga semakin bertambah. Berapa umur? Hemm...

Monday, January 22, 2007

Awalan

Alhamdullilah..... akhirnya tercipta juga satu blog untuk diriku.

Aku selalu jugak melayari laman-laman web. Tapi belum terbuka hati untuk buat blog sendiri. Baru-baru ni, suamiku beri cadangan, "Buatlah blog sendiri, abang boleh bantu". Dengan bantuannya, terciptalah blog ini. Begitulah kisahnya.